PEMBIUSAN
Tanya Pakar Bius
Apa tu Anesthesia?
Nanti nak kene bius ok ke?
Tak sakit ke nak kene belah?
Dr bius buat macamana?
Apa kesan bius?
Bacalah buku ini. Pasti mudah faham dan kurang rasa gemuruh untuk pembedahan.
Setiap tahun terdapat lebih kurang 6000 hingga 8000 kes pembedahan dilakukan di setiap hospital utama di Malaysia. Jumlah ini tidak termasuk prosedur-prosedur lain yang memerlukan pembiusan. Setiap pembedahan memerlukan pembiusan yang berfungsi untuk memberikan perawatan dan pengalaman yang selesa kepada pesakit serta mengurangkan kesan komplikasi pembedahan. Pembiusan akan diberikan sebelum pembedahan dijalankan di dalam dewan bedah dan akan berakhir apabila pembedahan tamat. Pembiusan yang selamat memastikan pesakit tidak sedar, tidak mengalami sakit dan membolehkan pembedahan dijalankan dengan lancar dan sempurna.
Untuk pengetahuan pembaca, terdapat pelbagai jenis teknik pembiusan dan ia tidak semestinya menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri. Beberapa jenis pembiusan seperti pembiusan setempat, pembiusan sebahagian dan pembiusan penuh.
Siapakah Pakar Bius?
Pakar Bius adalah seorang doktor Anesthesia yang professional juga dikenali sebagai Pakar Anestesiologi yang telah menjalani latihan kepakaran yang mendalam tentang pembiusan dan bertanggungjawab tentang perbincangan mengenai:
Jenis pembiusan yang sesuai. Doktor tersebut akan membantu pesakit untuk memilih teknik pembiusan yang terbaik.
Risiko pembiusan terhadap pesakit. Doktor bius akan membuat perancangan sama ada perlu ditempatkan di Unit Rawatan Rapi atau tidak selepas pembedahan.
Seorang pakar bius dan ahli pasukannya yang professional dalam bidang pembiusan akan sentiasa bersama pesakit dari mula proses pembiusan sehinggalah tamat pembedahan. Mereka akan memastikan pesakit berada dalam keadaan selamat dan diberikan penjagaan yang terbaik
Kadangkala terdapat pelbagai soalan yang bermain di fikiran pesakit dan juga keluarga pesakit tentang perkara yang bakal berlaku. Antara soalan yang sering diajukan kepada pakar bius adalah seperti berikut:
Siapakah yang akan memberikan bius kepada saya?
Perlukah saya menjalani pembiusan penuh atau tidak?
Apakah jenis pembiusan yang sesuai untuk saya?
Adakah saya tidak akan sedar langsung dan tidak mengetahui keadaan sekeliling ketika pembedahan?
Apakah risiko-risiko pembiusan yang mungkin saya alami?
Adakah kemungkinan saya mengalami risiko lain yang khusus kepada saya?
Apakah yang saya akan rasai selepas pembiusan?
Justeru, objektif buku ini adalah untuk memberikan informasi terkini tentang pembiusan agar masyarakat lebih mudah memahami tentang pembiusan dan proses-proses yang akan dilalui sehinggalah pesakit sembuh seperti sedia kala dan boleh pulang ke rumah.
Maklumat yang terkandung di dalam buku ini diharapkan dapat membantu sesiapa sahaja agar lebih bersedia untuk menghadapi pembiusan dan pembedahan serta berasa lebih tenang.